HIJRAH RASULULLAH SAW
1.0 Pendahuluan
a) Konsep Hijrah
1. Hijrah ertinya ‘perpindahan’, iaitu perpindahan orang Islam dari Makkah ke Madinah bermula pada 1 Muharram dan tarikh ini merupakan bermulanya tahun hijrah dalam kalendar Islam.
2. Orang Islam telah merangka strategi yang cukup teliti untuk berhijrah bagi memastikan kejayaannya dari segi agama, moral, sosioekonomi dan politik. Madinah dipilih sebagai tempat hijrah kerana kesesuaiannya dari segi agama, moral dan sosioekonomi.
3. Orang pertama yang berhijrah ke Madinah ialah Abu Salamah bin Abd al-Asad pada 1 Muharam tahun pertama Hijrah ( 16 Julai 622 M ). Rombongan pertama yang berhijrah ke Madinah ialah seramai 70 orang dan mereka berhijrah dalam kumpulan-kumpulan kecil agar tidak diketahui oleh kaum Musyrikin Makkah .
2.0 Perjalanan Hijrah Rasulullah
Ketika Islam diterima dengan baik oleh masyarakat Madinah, Rasulullah kemudian mengizinkan umat Islam yang ada di Makkah untuk berhijrah. Para sahabat pun segera mempersiapkan diri. Orang pertama yang dicadangkan berangkat adalah Abu Salamah bin Abdul Saat dan isterinya Hindun binti Abi Umayyah (Ummu Salamah). Namun takdir Allah menentukan lain, Ummu Salamah bertahan di Makkah. Namun akhirnya dia keluar satu tahun kemudian bersama puteranya Salamah diiringi Utsman bin Abi Thalhah yang ketika itu belum masuk Islam.
Sedikit demi sedikit, kaum Muslimin meninggalkan Makkah hingga tidak ada yang tinggal di Bandar itu kecuali beberapa orang termasuk Rasulullah, Abu Bakar, dan Ali bin Abi Talib Dan keduanya menunggu perintah Rasulullah yang juga sedang menunggu perintah Allah bila masa yang sesuai keluar meninggalkan Makkah.
Pihak Musyrikin yang mengetahui para sahabat Rasulullah telah pergi membawa harta, anak, dan isteri mereka ke negeri Aus dan Khazraj (Madinah), meyakini bahawa negeri tersebut akan membela dan melindungi Rasulullah. Oleh itu mereka khuatir, jika Rasulullah kemudiannya menyusul, nescaya umat Islam akan mempunyai kekuatan. Maka sebelum hal itu terjadi, mereka bersepakat untuk membunuh Rasulullah.
Suatu siang, datanglah Rasulullah ke rumah Abu Bakar dan “Keluarkanlah siapa pun yang ada di rumahmu.” Kata Abu Bakar, ‘Mereka adalah keluargamu juga, wahai Rasulullah.” Rasulullah berkata, “Allah telah mengizinkan saya keluar.”
Abu Bakar berkata, “Saya yang akan menyertaimu, wahai Rasulullah?” Kata Rasulullah, “Ya.” Kemudian Abu Bakar mengatakan, “Ambillah salah satu kenderaanku ini, demi bapak dan ibuku tebusanmu.“
Rasulullah berkata, “Dengan harga.” Aisyah menceritakan, “Kemudian kami mempersiapkan segala sesuatu untuk bekal pemergian Rasulullah dan Abu Bakar. Asma binti Abi Bakar memotong kain pinggangnya menjadi dua bahagian, satu untuk mengikat pinggang dan yang lain untuk membawa bekal tersebut. Dan sejak itu dia dikenali Dzatu Nithaqain (Perempuan yang Memiliki Dua Ikat Pinggang).
Ibnul Qayyim mengisahkan (Zadul Ma’ad 3/54), Al-Hakim (dalam Al-Mustadrak) dari Umar, menceritakan bahawa Rasulullah dan Abu Bakar berangkat menuju gua Tsur. Dalam perjalanan itu, kadang-kadang Abu Bakar berjalan di depan, kadang di belakang Rasulullah. Melihat hal ini, Rasulullah bertanya, dan Abu Bakar menjawab, “Wahai Rasulullah, kalau saya teringat pengintai dari depan, saya sengaja berjalan di depan, kalau saya ingat kepada para pengejar, maka saya berjalan di belakang.”
Kata Rasulullah, “Apakah kau ingin jika terjadi sesuatu, engkau yang mengalaminya, bukan aku?” Kata Abu Bakar, “Ya.” Demikianlah, keduanya sampai dan bersembunyi di dalam gua. Sementara orang-orang kafir Quraisy yang kehilangan jejak, menyebarkan para pencari jejak hingga ke mulut gua. Ketika itu Abu Bakar berkata sebagaimana disebutkan dalam hadis Anas bin Malik, “Wahai Rasulullah, seandainya salah seorang dari mereka melihat ke bawah, nescaya mereka melihat kita.”
Rasulullah r bersabda, “ Bagaimana menurutmu dengan (keadaan) dua orang di mana Allah adalah yang ketiganya. Janganlah bersedih, sesungguhnya Allah bersama kita,” (Sahih, Riwayat Al-Bukhari dan Muslim).
Didalam Sahih Al-Bukhari disebutkan bahawa Abdullah bin Abi Bakar selalu bermalam di gua bersama Rasulullah dan Abu Bakar. Dia seorang pemuda yang cerdik. Sebelum fajar dia sudah berkumpul kembali di tengah orang-orang kafir Quraisy untuk mendengar berita daripada mereka dan menyampaikannya kepada Rasulullah dan Abu Bakar. Sementara salah seorang bekas budak yang dimerdekakan Abu Bakar, Amir bin Fuhairah senantiasa menggembala kambingnya di sekitar gua dan memerahkan susu untuk Rasulullah dan Abu Bakar. Demikianlah hal ini berjalan selama tiga malam.
Kisah Suraqah bin Malik
Setelah berusaha mencari ke seluruh pelosok Makkah, kaum Quraisy tidak juga menemukan Rasulullah dan Abu Bakar. Akhirnya, mereka membuat peraduan, barang siapa yang Berjaya membawa Rasulullah dan Abu Bakar hidup atau mati, akan diberi hadiah. Manakala Rasulullah dan Abu Bakar mulai meningglkan Makkah menyusuri tepi pantai menuju Madinah.
Sesampai di daerah Bani Mudlij, seseorang melihat mereka dan melaporkan kepada Suraqah bin Malik bin Ju’syum. Berita ini ditolak oleh Suraqah, Namun secara senyap-senyap dia memerintahkan budaknya membawa kuda dan tombak keluar dari belakang rumah (dan disuruh) menunggu di balik gunung.
Setelah itu, dia memacu kudanya mengejar Rasulullah dan Abu Bakar. Abu Bakar yang mengetahuinya berkata, Ya Rasulullah, lihat Suraqah bin Malik mengikuti kita.” Rasulullah pun berdoa. Akhirnya kuda Suraqah beberapa kali tersungkur. Kemudian dia berputus asa, lalu meminta Rasulullah dan Abu Bakar berhenti. Setelah bercakap dengan Rasulullah, Suraqah meminta dituliskan perjanjian persefahaman. Persefahaman itu dipegangnya hingga peristiwa Fathuh Makkah.
Suraqah kemudian menyerahkan tambahan bekalan makanan kepada Rasulullah, namun Rasulullah menolak secara halus sambil mengatakan, “Tidak. Tapi alihkan perhatian para pengejar dari kami.” Maka setelah itu setiap kali bertemu dengan para pencari jejakrombongan Rasulullah, Suraqah selalu mengatakan: “Saya sudah mencari maklumat dan tidak terlihat yang kalian cari.’
Demikianlah, awalnya dia berusaha menangkap Rasulullah dan Abu Bakar, namun akhirnya dia menjadi pelindung.
Kisah Ummu Ma’bad
Ibnul Qayyim menceritakan; “Rombongan Rasulullah meneruskan perjalanan dan singgah di kemah Ummu Ma’bad, yang tinggal di padang pasir (dan suka) memberi makan dan minum para musafir yang singgah di tempatnya.” Rombongan singgah di sana dan menanyakan apa gerangan yang dimilikinya. Ummu Ma’bad mengatakan tidak ada kecuali kambing yang jauh dari tempat gembala. Seterusnya Rasulullah minta izin untuk memerah susunya. Ummu Ma’bad pun mengizinkan.
Rasulullah dengan menyebut nama Allah, mengusap susu kambing tersebut lalu berdoa. Memancarlah susu kambing itu yang kemudian ditampung dalam sebuah bejana. Baginda menyuruh Ummu Ma’bad minum, setelah itu para sahabatnya, baru kemudian baginda sendiri. Setelah semua puas, baginda memenuhi bejana itu kembali dan meninggalkannya di sana, kemudian meneruskan perjalanan. Tidak lama kemudian, Abu Ma’bad suami Ummu Ma’bad pulang dan terhairan-hairan melihat bejana yang penuh dengan air susu. Dia bertanya dari mana ini susu itu datangnya? Ummu Ma’bad mengatakan bahawa baru saja singgah seorang lelaki penuh berkat dengan sifat demikian dan demikian. Mendengar keterangan isterinya, Abu Ma’bad segera meyakini bahawa orang itulah yang dicari-cari kaum Quraisy. Dan dia bertekad seandainya mempunyai peluang akan menemui lelaki itu.
3.0 Tiba di Madinah
Orang-orang Ansar yang mendengar berita keluarnya Rasulullah dari bandar Dan Makkah berusaha untuk menanti. Setiap hari dari pagi hingga matahari meninggi, mereka menunggu kedatangan rombongan Rasulullah di pinggiran bandar. Namun setelah beberapa hari, yang ditunggu belum juga tampak.
Pada hari ke-12 bulan Rabi’ul Awwal, mereka menunggu seperti biasa. Ketika matahari mula terik, mereka pun bersiap untuk kembali ke rumah masing-masing. Seorang Yahudi yang ketika memanjat rumahnya untuk suatu keperluan, melihat bayangan dari jauh dan tidak dapat menahan dirinya. Dengan lantang dia berteriak bahawa yang ditunggu-tunggu telah datang.
Mendengar hal itu, orang-orang Ansar bergegas menyandang senjata dan menuju ke pinggiran bandar menyambut rombongan Rasulullah. Kaum muslimin bertakbir gembira dengan kedatangan rombongan Rasulullah ini. Mereka menyambut dengan penuh kehormatan menurut syariat Islam. Setelah melalui pelbagai rintangan, Rasulullah bersama rombongan akhirnya berjaya memasuki bandar Madinah.
Masjid Pertama
Ketika Rasulullah sampai di Madinah, sebenarnya kaum muslimin di Madinah masih ramai yang belum mengenali Rasulullah dan Abu Bakar Ash-Shiddiq. Selepas melihat seseorang melindung seorang yang lain daripada terik matahari, mereka mengenai yang dilindungi itu adalah Rasulullah.
Rasulullah singgah di Quba, tempat Kultsum bin Al-Hidmi di perkampungan Bani ‘Amr bin ‘Auf selama beberapa hari dan mulai membangun Masjid Quba. Inilah masjid pertama yang dibangunkan sejak baginda tiba di Madinah.
Terjadi perbezaan pendapat di kalangan para ulama, masjid apa yang pertama dibangun di atas dasar ketakwaan, Ada yang mengatakan bahawa yang dimaksudkan adalah Masjid Quba, dan ini diriwayatkan dari Ibnu Abbas, Adh-Dhahhak, dan Al-Hasan. Mereka berpegang kepada kalimat : 9sejak hari pertama) ; Masjid Quba adalah yang pertama kali dibangunkan di Madinah sebelum Masjid Rasulullah (Masjid Nabawi).
Demikian juga pendapat Ibnu ‘Umar, Sai’d bin Musayyab, dan Al-Imam Malik menurut riwayat Ibnu Wahb, Asyhab, dan Ibnul Qasim. Setelah menukilkan beberapa hadis, Al-Imam Al-Qurthubi dalam Tafsir-nya mengatakan bahawa hadis ini menunjukkan bahawa masjid yang dimaksud adalah Masjid Quba. Dan ini pula pendapat Asy-Syaikh Abdurrahman As Sa’di dalam At-Taisir.
Namun ada pula yang mengatakan, masjid itu adalah Masjid Nabawi. Al-Imam At-Tirmidzi meriwayatkan dari Abu Sa’id Al-Khudri tentang dua orang sahabat yang berdebat tentang masjid yang dimaksudkan dalam ayat ini, kemudian disampaikan kepada Rasulullah, dan kata baginda : “ Itu adalah Masjidku.” Al-Imam At-Tirmidzi berkata bahawa hadis ini sahih. Ibnu Katsir menerangkan bahawa susunan ayat ini menggambar Masjid Quba, kemudian beliau meneruskan, dengan menukilkan riwayat Al-Imam At-Tirmidzi dari hadis Abu Said Al-Khudri sebelumnya, dan berkata : Ini sahih, dan tidak ada pertentangan antara ayat dengan hadis tersebut. Kerana kalau Masjid Quba dianggap sebagai masjid pertama yang didirikan di atas dasar ketakwaan, maka Masjid Rasulullah tentunya lebih utama dan lebih layak.” (Lihat Tafsir Ibnu Katsir,2/474, dan Tafsir Al-Qurthubi).
Semasa sampai di Madinah, beberapa orang sahabat cuba memegang tali unta baginda dan menuntunnya dengan niat mengajak baginda singgah di tempatnya. Tapi Rasulullah memerintahkan agar dibiarkan kerana untanya diperintah oleh Allah. Akhirnya, rombongan tiba di lokasi masjid yang sekarang ini.
Ibnul Qayyim mengisahkan bahawa Al-Imam Az-Zuhri menceritakan, beberapa kali unta Rasulullah berputar dan akhirnya kembali di tempat dia menderum pertama kali. Rasulullah turun dan segera disambut oleh Abu Ayyub, yang masih mempunyai hubungan kekeluargaan dari Bani Najjar. Tanah lokasi masjid itu sebetulnya milik dua anak yatim Sahl dan Suhail yang diasuh As’ad bin Zuharah. Rasulullah membeli tanah itu dari keduanya untuk didirikan masjid di atasnya.
Setelah membersihkan tanah itu dari kuburan orang Islamdan pohon-pohon gharqad, mulailah tanah itu diratakan. Beberapa batang kurma ditebang dan disusun di arah kiblat masjid. Ukuran panjangnya (dari kiblat sampai ke belakang) ketika itu sekitar 100 hasta (kira-kira 50 meter). Begitu pula kedua sisinya, hampir sama. Sedangkan tapak asasnya sekitar tiga hasta yang kemudian dibina dengan bata.
Rasulullah tidak duduk diam semasa pembinaan masjid ini dilakukan. Baginda bahkan ikut mengangkat dan memindahkan tanah. Ketika itu, kiblat masih menghadap Baitul Maqdis (Masjidil Aqsha). Atap masjid dibina menggunakan pelepah-pelepah kurma. Setelah itu baru dibangunkan rumah untuk isteri-isteri baginda.
Mempersaudarakan Muhajirin dan Ansar
Seterusnya Rasulullah mempersaudarakan antara Muhajirin dan Ansar di rumah Anas bin Malik. Ketika itu mereka berjumlah 90 orang. Mereka dipersaudarakan atas persamaan, saling mewarisi sampai terjadinya peristiwa Badar.
Setelah Allah SWT menurunkan ayat : “ Dan orang-orang yang mempunyai hubungan darah satu sama lain lebih berhak (waris mewarisi) di dalam kitab Allah…” (Al-Anfal: 75)
Maka pewarisan dikembalikan kepada hubungan darah dan tidak lagi berdasarkan ukhuwah diniyyah. Ibnu Katsir menerangkan dalam Tafsir-nya bahawa ayat ini menyatakan pewarisan diantara sesame kerabat lebih utama daripada saling mewarisi antara Muhajirin dan Ansar. Ayat ini menasikh (menghapus) hokum warisan sebelumnya yang berdasarkan hilf (perjanjian) persaudaraan yang terjadi diantara mereka.
Kemudian Ibnu Katsir menukilkan riwayat dari Az-Zubair bin Al-‘Awwam yang dipersaudarakan dengan Kaab bin Malik, bahawa seandainya Kaab bin Malik meninggal dunia ketika itu, dialah yang akan mewarisinya. Lalu turunlah ayat dibawah. Begitu eratnya persaudaraan ini, Allah SWT menceritan tentang keadaan ini dalam firman-Nya.
“Dan orang-orang yang telah menempati Bandar Madinah dan telah beriman (yakni kaum Ansar) sebelum (kedatangan) mereka (Muhajirin), mereka mencintai orang yang berhijrah kepada mereka. Dan mereka tiada menaruh keinginan dalam hati mereka terhadap apa-apa yang diberiakn kepada mereka (orang Muhajirin) atas diri mereka sendiri. Sekalipun mereka memerlukan (apa yang mereka berikan itu). Dan siapa yang dipelihara daripada kekikiran dirinya, mereka itulah orang-orang yang beruntung,” (Al-Hasyr: 9)
Ibnu Katsir menerangkan dalam Tafsirnya : “Allah memuji orang-orang Ansar, menjelaskan betapa tinggi kedudukan, kemuliaan, kemurahan, tidak adanya kedengkian pada diri mereka, dan mereka mempunyai sikap suka mengutamakan serta mendahulukan kepentingan orang lain daripada diri mereka sendiri meskipun mereka sangat memerlukan.”
Al-Imam Al-Bukhari meriwayatkan pula betapa mereka mencintai orang-orang Muhajirin yang dating ke tempat mereka, yang kesemuanya itu didorong oleh kemuliaan peribadi meeka. Mereka tidak mendapatkan dalam diri mereka kedengkian terhadap kedudukan dan kemuliaan orang-orang Muhajirin, meskipun mereka disebut oleh Allah pertama kali (dalam ayat tersebut). Al-Imam Al-Bukhari meriwayatkan dari Anas bin Malik : “Rasulullah mengundang orang-orang Ansar untuk dibagikan kepada mereka harta Bahrain, namun mereka berkata : “Tidak, kecuali kalau engkau bagikan pula seperti itu kepada saudara-saudara kami kaum Muhajirin. Atau tidak sama sekali .’ Rasulullah berkata: Kalau begitu bersabarlah, sampai kalian bertemu denganku. Kerana sesungguhnya kalian akan dapati adanya atsarah (sikap pemimpin yang mengutamakan diri sendiri) sepeninggalku.”
Berkaitan dengan ayat tadi, disebutkan pula oleh Ibnu Katsir bagaimana para sahabat Ansar mendahulukan kepentingan orang lain daripada diri mereka sendiri. Al-Imam Al-Bukhari meriwayatkan : “Abu Hurairah menceritakan: “Ada seorang laki-laki dating menemui Rasulullah, kemudian baginda perintahkan supaya menemui isteri-isteri baginda. Namun kata mereka : ‘Kami tidak punya sesuatu kecuali air (minum).’ Kemudian Rasulullah berkata : ‘Siapa yang menjamu tamu ini?’ Tiba-tiba seorang sahabat Ansar berkata : ‘Saya, wahai Rasulullah.’ Maka berangkatlah dia membawanya ke rumah Sahabat Ansar ini berkata kepada isterinya : ‘Muliakan (jamulah) tamu Rasulullah ini.’
Wanita itu berkata, ‘Kita tidak punya apa-apa kecuali makanan untuk anak-anak.’ Suaminya berkata, ‘Siapkan makananmu itu, perbaiki pelitamu dan tidurkan anak-anakmu. Kalau mereka minta makan, alihkan perhatian mereka.’
Wanita itu melaksanakan perintah suaminya, dia mulai menidurkan anak-anak dan menyiapkan makanan dan berdiri seakan-akan mahu memperbaiki pelita lalu memadamkannya. Mereka pun berbuat seoalah-olah memperlihatkan kepada tamunya itu bahawa mereka juga ikut makan bersamanya.
Setelah itu meeka berdua tertidur menahan lapar. Keesokan harinya ketika laki-laki yang menyediakan jamuan itu menemui Rasulullah, baginda berkata : ‘Allah tertawa melihat perbuatan kalian terhadap tamu kalian tadi malam.’
Maka Allah menurunkan firman-Nya: ‘…dan mereka mengutamakan (orang-orang Muhajirin), atas diri mereka sendiri. Sekalipun mereka memerlukan (apa yang mereka berikan itu). Dan siapa yang dipelihara dari kekikiran dirinya, mereka itulah orang-orang yang beruntung.’ Rasulullah telah mengingatkan pula sebagaimana dalam hadis Anas bin Malik yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim:
“Tidak (sempurna) iman salah seorang dari kalian, sehingga dia mencintai untuk saudaranya apa-apa yang dicintainya untuk dirinya sendiri.”
“Seorang mukmin dengan mukmin lainnya bagaikan bangunan yang kukuh, saling menguatkan satu sama lain. Pelbagai kisah tentang persaudaraan Muhajirin dan Ansar yang telah dicontohkan oleh generasi terbaik umat ini, dinukilkan dalam pelbagai kitab sejarah, tafsir dan lainnya. Namun sejauh mana kita berusaha menerapkannya dalam kehidupan kita di zaman di mana persaudaraan dan hubungan kasih saying diikat dan dinilai dengan material, harta benda dunia?
Saban tahun kita didedahkan dengan peristiwa Hijrah Rasulullah yang penuh dengan kegigihan, kecekalan dan kesantunan. Semoga kisah ini menjadi bekalan kita untuk berhijrah menuju kehidupan yang berasaskan Iman, Islam dan Ihsan sebagai usaha mencontohi apa yang telah dicontohkan Rasulullah.
3.0 Faktor-faktor penghijrahan
1. Kesan daripada Bai'atul Aqabah / Perjanjian Aqabah
Termeterainya Bai'atul Aqabah mempercepatkan lagi proses Hijrah. Melalui bai'at ini, Nabi telah dapat menjangka sambutan penduduk Madinah adalah lebih baik. Dalam Bai'atul Aqabah pertama, hanya 12 orang yang terlibat manakala dalam Bai'atul Aqabah kedua, bilangannya telah meningkat kepada 73 orang. Orang Madinah bukan sahaja mahu menerima Islam tetapi sanggup memberi perlindungan kepada Nabi dan orang Islam.
2. Tekanan Musyirikin Mekah
Tekanan / Ancaman daripada musyirikin Mekah telah mendorong Nabi Muhammad dan orang Islam berhijrah ke Mekah. Nabi dan orang-orang Islam telah dihina, diseksa dan dipulau. Malah, Nabi sendiri telah diancam untuk dibunuh. Orang-orang musyirikin mula menunjukkan penentangan mereka apabila Nabi menyebarkan Islam secara terbuka. Mereka bimbang kedudukan mereka dari segi politik, ekonomi dan sosial akan terjejas.
3. Kegagalan Dakwah di Taif
Kegagalan dakwah di Taif menyebabkan Nabi cuba mengalihkan perhatian ke tempat lain, iaitu Madinah. Kedatangan penduduk Madinah ke Mekah dan kesungguhan mereka untuk menerima dan menyebarkan Islam memberi satu gambaran yang baik kepada Nabi. Penduduk Taif ternyata tidak mahu menerima Islam memandangkan mereka mempunyai hubungan yang rapat dengan orang Quraisy di Mekah.
4. Kematian Abu Talib dan Khadijah
Kematian Abu Talib dan Khadijah telah menyebabkan Nabi kehilangan tempat untuk berlindung. Ia sedikit sebanyak meninggalkan kesan ke atas Nabi. Khadijah adalah seorang isteri yang sangat setia dan sanggup mengorbankan segala-galanya untuk Nabi dan orang Islam. Abu Talib pula walaupun tidak menerima Islam, tetapi beliau tetap melindungi Nabi dari ancaman.
5. Mencari Tempat Baru untuk Berdakwah
Nabi berhasrat untuk mendapatkan sebuah tempat baru untuk berdakwah memandangkan sambutan dari penduduk Mekah kurang menggalakkan. Nabi agak kecewa dengan sikap penduduk Mekah. Di Mekah selama 13 tahun, bilangan yang menerima Islam agak kecil berbanding dengan tempoh 10 tahun Nabi berdakwah di Madinah.
6. Kesediaan Penduduk Madinah Menerima Nabi
Kesediaan penduduk Madinah menerima Nabi telah mendorong Nabi berhijrah ke sana. Penduduk Madinah sangat berharap Nabi dapat membantu mereka menyelesaikan perbalahan antara orang Arab dan Yahudi, juga antara orang Arab dan Arab, khususnya antara Aus dan Khazraj. Perbalahan ini berpunca dari perebutan kuasa di Madinah.
7. Faktor kedudukan Madinah yang Strategik
Kedudukan Madinah di tengah-tengah jalan perdagangan antara Syam dan Yaman sangat sesuai untuk dijadikan sebagai pusat penyebaran Islam. Ia juga berpotensi menyaingi kedudukan Mekah sebagai pusat perdagangan. Dengan ini, Madinah bukan sahaja dapat dijadikan sebagai sebuah negara yang kukuh dari segi politik tetapi juga ekonomi.
8. Penduduk Madinah Lebih Hampir dan memahami tentang Agama Samawi
Penduduk Madinah kebanyakannya sudah mengetahui serba sedikit tentang agama Samawi, terutamanya melalui cerita-cerita yang dibawa oleh orang Yahudi. Pengetahuan ini memudahkan mereka memahami dan menerima ajaran yang dibawa oleh Nabi. Lagipun, penduduk Madinah mempunyai sifat-sifat semulajadi yang lebih lembut berbanding penduduk Mekah.
9. Turun Wahyu Daripada Allah tentang Hijrah
Hijrah berlaku apabila Nabi menerima wahyu dari Allah yang mengizinkan orang Islam berhijrah. Wahyu tersebut ialah ayat 30, Surah al-Anfal. Ayat tersebut mengingatkan Nabi tentang pakatan yang dilakukan oleh orang musyirikin Mekah terhadap Nabi. Wahyu ini menggesa Nabi supaya segera berhijrah ke Madinah.
4.0 Kesan-kesan penghijrahan
1. Kesan Secara Umum
Dapat mempergiatkan penyebaran agama Islam. Hijrah merupakan suatu proses jangka panjang dalam perjuangan umat Islam dan dilakukan secara terancang dan teratur dari segi kerohanian dan kebendaan. Nabi Muhammad (SAW ) mendapat teman yang setia, jujur dan ikhlas dalam mengharungi perjuangan iaitu Ali dan Abu Bakar. Keredaan dan restu daripada Allah perlu sentiasa dipohon terutama di waktu-waktu kesusahan.
2) Perubahan Pusat Gerakan Islam Perkembangan politik
Pusat gerakan Islam berpindah ke Madinah dimana kegiatan Islam dapat dijalankan dengan lebih aman dan bebas dari ancaman kaum Quraisy. Penyebaran Islam mula dapat dijalankan secara bebas dan terbuka tanpa ancaman kaum Quraisy. Ajaran-ajaran Islam diamalkan dengan bebas tanpa kekhuatiran dimana-mana sahaja bahagian kota Mekah. Bidang politik mempunyai kaitan langsung dengan kegiatan ketenteraan di mana kegiatan ketenteraan Islam berkembang dengan pesat dan berjaya menundukkan dua buah empayar besar iaitu Parsi dan Rom.
3) Penyebaran Islam Semakin Meluas
Ajaran Islam dapat disebarkan dengan lebih meluas dan pesat. Penyebarannya begitu meluas sehingga melepasi sempadan politik Mekah dan Madinah. Nabi Muhammad telah menghantar utusan kepada pemerintah Rom, Farsi, Habsyah, Ghassan, Mesir, Bani Bakar dan sebagainya yang menyeru mereka kepada agama Allah. Di antara yang menerima utusan tersebut ialah Heraclius (Maharaja Byzantine), Muqaucis (pemimpin golongan Qibbi di Mesir), Najashy (Maharaja Habsyah) dan Kisra Farsi.
4) Perubahan Kedudukan dan Peranan Nabi Muhammad
Baginda tidak lagi diancam secara fizikal atau dihina oleh kaum Quraisy. Malah baginda menjadi pemimpin utama Madinah yang dihormati dan disegani. Semasa di Madinah, baginda turut menjadi hakim, ketua negara, panglima perang, guru agama, pemimpin umat dan sebagainya. Peranan itu tidak dapat dimainkan semasa baginda di Mekah.
5) Pertambahan Umat Islam
Hijrah umat Islam adalah atas arahan Allah dan merupakan pekerjaan yang berkaitan dengan agama. Tujuan utama hijrah adalah untuk menuntut keredaan Allah. Madinah dipilih adalah kerana kesesuaiannya untuk dijadikan pusat penyebaran agama Islam. Peristiwa hijrah ke Madinah juga terdapat banyak unsur-unsur mukjizat yang berkaitan dengan aspek keagamaan secara langsung dan dapat mempertingkatkan iman dan keyakinan orang Islam.Umat Islam semakin bertambah dan terdiri dari dua golongan iaitu golongan Ansar dan Muhajirin. Golongan Ansar ialah orang Madinah yang menganut agama Islam. Majoritinya ialah kaum Aus dan Khazraj. Golongan Muhajirin ialah umat Islam Mekah yang mengikut Nabi Muhammad berhijrah ke Madinah. Muhajirin bermakna "penghijrah". Pertumbuhan masyarakat Islam ini mewujudkan sebuah ummah Islamiyah. Umat Islam menjadi semakin kukuh dan mampu mempertahankan diri mereka.
6) Penubuhan Negara Islam
Kota Madinah menjadi negera Islam yang pertama di dunia apabila Nabi berjaya membentuk Piagam Madinah. Ia menukarkan imej kota Madinah yang hampir dikuasai oleh kaum Yahudi kepada sebuah kota Islam. Piagam ini dianggap sebagai perlembagaan bertulis yang pertama di dunia kerana ia mempunyai negara yang ditentukan kawasannya, mempunyai ummah yang tertentu dan menyentuh hak-hak seluruh masyarakat.
7) Perubahan Kehidupan Masyarakat Madinah
Sebelum Nabi Muhammad berhijrah, penduduk Madinah hidup dalam suasana Jahiliah tanpa sistem undang-undang yang teratur. Keadilan terletak pada kekuatan. Manusia yang lemah sering ditindas. Dengan kedatangan Nabi, sistem perundangan yang teratur diperkenalkan. Peraturan ini meliputi hampir keseluruhan aspek kehidupan masyarakat seperti bidang ekonomi, kekeluargaan, pemerintahan dan sebagainya. Semua penduduk Madinah hidup bebas dari penindasan.
8) Menamatkan Permusuhan Tradisi Golongan Ansar
Konflik diantara suku Aus dan Khazraj ditamatkan dengan mempersaudarakan mereka dengan ikatan semangat Ukhuwwah Islamiyah. Sebelum itu, mereka saling bermusuhan. Peperangan sering tercetus sesama mereka. Peperangan yang terakhir ialah Perang Bu'ath pada 618 M di antara suku Aus dan Khazraj yang mengorbankan banyak nyawa dan harta benda.
9) Permulaan Kiraan Tarikh Kalendar Hijrah
Tarikh penghijrahan Nabi Muhammad dijadikan sebagai titik terawal bagi pengiraan sistem kalendar Islam iaitu Tahun Hijrah. Hal ini dilakukan pada masa pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab pada 634 M. Takwim ini mengikut peredaran bulan. Dalam setahun mengandungi 12 bulan atau 354 hari. Setiap bulan mempunyai 29-30 hari.
10) Perubahan Dasar Politik
Umat Islam mula menjalankan dasar politik bercorak offensive iaitu menentang penentangan Quraisy secara kekerasannya bila cara perdamaian tidak dapat dielakkan. Perubahan dasar ini dilakukan setelah turunnya Suruh al-Hajj. Sebelum itu, mereka hanya bertahan dan bersabar kerana orang Islam tiada sebarang kekuatan untuk menentang.
11) Pertumbuhan Ekonomi
Kedudukan ekonomi orang Islam sewaktu di Madinah semakin kukuh. Orang-orang Muhajirin telah diberi bantuan oleh orang Ansar. Selain itu, Madinah merupakan kawasan yang sesuai untuk pertanian dan kedudukannya yang strategik untuk perdagangan. Setelah hijrah, sistem ekonomi Islam yang bertepatan dengan syariat Islam telah diperkenalkan dan ekonomi masyarakat Islam bertambah kukuh dan negara Islam menjadi lebih makmur dan stabil.
12) Perubahan Sistem Sosial ( Pembentukan Ummah )
Semasa di Makkah, masyarakat Jahiliah mengamalkan cara hidup berkabilah sementara para peniaga pula bersifat individualistik. Penghijrahan telah menghapuskan nilai-nilai masyarakat Jahiliyah dan digantikan dengan nilai-nilai murni berpandukan akidah dan akhlak. Dalam sistem sosial Islam, setiap orang diberi kebebasan tanpa mengira kaum, agama dan keturunan di mana hidup berkabilah telah digantikan dengan sistem sosial dalam bentuk Ummah.
5.0 Pengajaran dan Pedoman
1. Kadang-kadang ada kaum kerabat pendakwah yang tidak bersama dengan dakwahnya tetapi bertindak melindunginya. Situasi ini memberi faedah kepada dakwah ketika ia masih lemah. Kerana dia akan bertindak menghalang golongan jahat membunuh atau menyakitinya. Oleh yang demikian, sentimen kabilah dan kekeluargaan kadang-kadang boleh digunakan oleh pendakwah untuk melindungi dakwahnya selama mana beliau tidak turut serta melakukan kemungkaran bersama kaumnya.
2. Isteri solehah yang beriman dengan dakwah kebenaran akan mempermudahkan banyak kesulitan yang dialami oleh suami yang berdakwah. Ini akan berlaku jika isteri
turut serta berkongsi kerungsingan dan penderitaan suami. Dengan perkongsian tersebut, isteri akan meringankan bebanan kerungsingan suami. Ia juga akan membangkitkan dalam diri suami rasa untuk meneruskan dakwah dan tetap teguh di atas jalannya. Oleh itu, isteri dapat memberi kesan kepada kejayaan dan kemenangan dakwah. Sikap Khadijah r.ha. terhadap Rasulullah s.a.w. merupakan contoh paling mithali yang boleh dilakukan oleh seorang isteri yang beriman dengan dakwah kebaikan. Dia berperanan besar terhadap kejayaan suaminya sebagai pendakwah. Begitu juga keteguhan dan istiqamah beliau dalam dakwah. Kehilangan isteri seperti ini merupakan kerugian besar semasa pertempuran pengislahan yang sedang berlaku sengit. Kerugian ini menyebabkan suami yang berdakwah tidak dapat mengawal perasaannya, bahkan merasa putus asa.
3. Kesedihan kerana kehilangan seorang kerabat yang berperanan melindungi dakwah
walaupun dia tidak beriman merupakan kesedihan yang terbit daripada keikhlasan berdakwah. Sementara kesedihan terhadap kehilangan seorang isteri yang beriman dan ikhlas terbit daripada rasa setia kepada isteri yang telah menjadi contoh dalam pengorbanan dan sokongan. Oleh kerana itu, ketika Abu Talib meninggal dunia, Rasul s.a.w. bersabda:
"Semoga Allah merahmati dan mengampun kamu. Aku akan tetap memohon ampun untuk kamu sehinggalah Allah menegah aku."
Oleh yang demikian, orang Islam ketika itu telah mencontohi Rasul mereka. Mereka turut memohon ampun untuk keluarga mereka yang mati dalam keadaan musyrik. Sehinggalah turun firman Allah Tabarak wa Taala:
“Tidaklah dibenarkan bagi Nabi dan orang-orang yang beriman, meminta ampun bagi orang-orang musyrik, sekalipun orang itu kaum kerabat sendiri, sesudah nyata bagi mereka bahawa orang-orang musyrik itu adalah ahli neraka.”
(At-Taubah: 113)
Dengan turunnya ayat tersebut, Nabi s.a.w. tidak lagi memohon ampun untuk Abu Talib. Begitu juga orang Islam tidak lagi memohon ampun kepada keluarga musyrik yang mati.
Oleh kerana sebab-sebab di atas, sepanjang hayat Rasul s.a.w., Baginda terus mengingati kelebihan Khadijah, memohon rahmat untuknya dan berbuat kebajikan kepada teman-temannya. Sikap Rasulullah ini membuatkan Aishah r.ha. merasa cemburu dengan Khadijah (padahal Khadijah telah meninggal dunia). Ini kerana Aishah sering mendengar pujian Nabi s.a.w. kepada Khadijah. Al-Bukhari meriwayatkan daripada Aishah r.ha, katanya:
Aku tidak merasa cemburu kepada isteri-isteri Nabi s.a.w. sebagaimana aku cemburu kepada Khadijah. Aku tidak melihat Khadijah, namun Nabi s.a. w. sering menyebut-nyebutnya. Ada masanya Baginda menyembelih kambing, kemudian Baginda memotongnya lalu Baginda mengirimkan kepada temanteman Khadijah. Ada masanya aku berkata kepada Baginda: Seolah-olah tiada wanita di dunia ini melainkan Khadijah. Baginda bersabda: "Dia sekian-sekian... dia sekian-sekian... (menyebut jasa dan kebaikan Khadijah). Aku juga mendapat anak daripadanya (Khadijah)."
3. Pemergian Rasul s.a.w. ke Taif setelah penduduk Makkah menolak dakwahnya merupakan bukti kepada tekad yang kental dalam jiwa Rasul untuk meneruskan dakwahnya. la juga merupakan bukti sikap tidak putus asa Nabi s.a. w. terhadap penerimaan orang ramai kepada dakwah. Baginda mencari medan baru untuk dakwah setelah terdapat halangan-halangan yang menyekat dakwah di medan pertamanya (kota Makkah). Sementara hasutan Bani Thaqif kepada kanak-kanak dan golongan bodoh daripada kaum mereka supaya menyakiti Rasul s.a.w., menjadi bukti bahawa kejahatan sama sahaja walau di mana ia berada. Kejahatan bergantung harap kepada golongan bodoh untuk menyakiti para pendakwah. Peristiwa kaki Nabi s.a.w. luka mengalirkan darah padahal Baginda adalah Nabi yang mulia, menjadi contoh penting kesakitan dan penindasan yang akan ditanggung oleh pendakwah di jalan Allah.
Manakala doa abadi Nabi s.a.w. semasa berada di kebun menjadi penegasan kepada kejujuran Rasul dalam dakwah dan keazamannya untuk terus melaksanakan tugas dakwah meskipun berhadapan dengan berbagai kesulitan. Perkara yang penting bagi Baginda hanyalah redha Allah semata-mata. Baginda tidak menghiraukan redha para pembesar, pemimpin, orang awam dan kebanyakan.
"Sekiranya Kamu tidak murka kepadaku, aku tidak peduli (apa yang menimpa)."
Dalam doa Baginda terkandung cara-cara memperolehi bekalan kekuatan daripada
Allah. Iaitu dengan cara kembali dan meminta pertolongan-Nya ketika kesengsaraan yang dipikul pendakwah semakin berat. Doa ini juga menunjukkan perkara yang paling ditakuti oleh pendakwah ialah kemurkaan dan kemarahan Allah ke atas beliau. Bukannya kemurkaan makhluk selain-Nya.
5. Proses memperkenalkan diri yang dilakukan oleh Rasulullah kepada kabilah-kabilah pada musim haji menjadi bukti bahawa seseorang pendakwah tidak sepatutnya membataskan dakwah mengajak manusia kepada kebaikan dalam lingkungan majlis dan persekitaran dirinya sahaja. Bahkan dia mestilah pergi ke setiap tempat manusia berhimpun atau lokasi yang berkemungkinan mereka berhimpun. Dia juga tidak sepatutnya berputus asa dengan penolakan mereka daripada semasa ke semasa. Kadang-kadang Allah menyediakan untuk beliau, penyokong-penyokong yang beriman dengan dakwahnya yang baik, padahal dia tidak pernah terfikir dan menjangkakannya. Kadang-kadang kelompok kecil yang mendapat hidayah hasil usaha beliau dalam beberapa sempena akan memainkan peranan besar terhadap penyebaran dakwah. Kelompok kecil itu juga berperanan dalam merealisasikan kemenangan akhir dakwah terhadap kejahatan dan konco-konconya. Keimanan tujuh orang pertama Ansar yang bertemu dengan Rasulullah s.a.w. untuk kali pertama, telah menyebabkan kemasukan Islam ke Madinah. Perkara itu memberi kesan kepada penyebaran Islam dan penguasaannya di sana. la membuka jalan kepada orang-orang mukmin yang tertindas di Mekah untuk menjadikan Madinah sebagai destinasi hijrah dan pusat mereka berhimpun. Rasulullah pula memperolehi tempat yang aman untuk membangunkan negara dan menyebarkan dakwah. Dari negara itu, para sahabat Baginda melancarkan penentangan kepada syirik dan orang musyrik. Mereka melancarkan perang dan pertempuran yang berakhir dengan kemenangan berkekalan di pihak iman dan kekalahan abadi di pihak syirik.
Semoga Allah meredhai kaum Ansar, yang terdiri daripada Aus dan Khazraj. Mereka mempunyai jasa yang tidak putus-putus kepada Islam, orang Islam dan seluruh alam. Semoga Allah juga meredhai saudara mereka, kaum muhajirin yang terlebih dahulu beriman sebelum mereka, serta yang telah berkorban di jalan Allah dengan segala yang berharga, baik harta mahupun kampung halaman. Semoga Allah turut memasukkan kita bersama mereka semua ke dalam syurga Ridhwan.
No comments:
Post a Comment