Friday, 12 April 2013

SUMBER RUJUKAN SIRAH NABI S.A.W.


SUMBER RUJUKAN SIRAH NABI S.A.W.
Hanya terdapat empat sumber rujukan utama Sirah Nabi S.A.W yang diperakui:

1. Al-Quran al-Karim
Al-Quran merupakan sumber rujukan asas yang kita cedok daripadanya Sirah Nabi s.a.w.. Al-Quran al-Karim telah menyingkap kehidupan Nabi s.a.w. semasa kecil: Bukankah Dia mendapati engkau yatim piatu lalu Dia memberikan perlindungan? Dan didapatiNya engkau mencari-cari (jalan yang benar), lalu Dia memberikan hidayah petunjuk (dengan wahyu - Al-Quran)? (Ad-Dhuha: 6-7) Al-Quran juga memaparkan akhlak Baginda yang mulia dan terpuji: Dan bahawa sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang amat mulia. (Al-Qalam: 4). Al-Quran turut membicarakan tentang keperitan dan sikap degil yang dihadapi oleh Baginda s.a.w. di jalan dakwah.

Al-Quran juga menyebut tentang beberapa gelaran yang diberikan oleh orang musyrik kepada Baginda demi menyekat agama Allah ‘Azza wa Jalla daripada tersebar, seperti ahli sihir dan orang gila. Selain itu, al-Quran juga memaparkan hijrah Rasul s.a.w., serta membentangkan pertempuran-pertempuran penting yang Baginda lalui selepas Hijrah. Antaranya Perang Badar, Uhud, Ahzab, Perdamaian Hudaibiyah, Pembukaan Makkah dan Perang Hunain. Al-Quran juga memperkatakan tentang sesetengah mukjizat Baginda seperti mukjizat Israk dan Mikraj. Ringkasnya al-Quran telah membicarakan banyak peristiwa dalam Sirah Rasul s.a.w.
Oleh kerana al-Quran merupakan kitab paling dipercayai di atas muka bumi dan terbukti kebenaran secara mutawatir, seorang manusia yang berakal tidak sepatutnya terfikir untuk meragui nas-nas dan kekukuhan fakta sejarahnya. Oleh itu, peristiwa-peristiwa sirah yang didedahkan oleh al-Quran ini secara mutlak dianggap sebagai sumber sirah paling sahih.
Namun dapat diperhatikan bahawa al-Quran tidak menyingkap peristiwa sirah secara terperinci, tetapi sekadar menyentuhnya secara ringkas. Dalam membicarakan sesuatu purtempuran perang, al-Quran tidak menyatakan sebab-sebab berlaku peperangan tersebut, bilangan orang Islam dan orang musyrik yang terlibat, mahupun bilangan tentera yang terbunuh atau ditawan di kalangan orang musyrik. Ia sekadar membincangkan pengajaran perang dan pedoman yang boleh diambil. Demikianlah sikap al-Quran dalam setiap kisah berkenaan para nabi dan umat terdahulu. Oleh itu, kita tidak boleh berpada dengan hanya bergantung kepada nas-nas al-Quran yang berkaitan dengan Sirah Nabi s.a.w. untuk mendapatkan gambaran kehidupan Rasul s.a.w. yang lengkap.
2. Sunnah yang Sahih
Sunnah Nabi s.a.w. yang sahih terkandung dalam kitab karangan para imam hadis yang diakui kejujuran mereka lagi dipercayai di dunia Islam. Kitab-kitab itu ialah:
Kitab Sunan Sittah (enam buah kitab hadis): Iaitu kitab Sahih Bukhari, Sahih Muslim, Sunan Abu Daud, Sunan an-Nasaie, Sunan at-Tirmizi dan Sunan Ibnu Majah. Begitu juga kitab al-Muwatto' karangan Imam Malik dan Musnad Imam Ahmad. Kitab-kitab ini, terutamanya Sahih Bukhari dan Sahih Muslim berada di tangga teratas dari aspek kesahihan, dipercayai dan pembuktiannya. Sementara kitab-kitab lain mengandungi hadis-hadis sahih dan hasan. Sesetengahnya juga mengandungi hadis daif.
Sebahagian besar kisah kehidupan Nabi s.a.w., peristiwa, peperangan dan amalan Baginda terkandung dalam kitab-kitab ini. Daripadanya, kita dapat membentuk pemikiran yang menyeluruh berkenaan Sirah Rasul s.a.w. Antara perkara yang meningkatkan kepercayaan dan penerimaan terhadap kitab-kitab ini ialah, hadis-hadisnya telah diriwayatkan dengan sanad yang bersambung hingga kepada para sahabat r.a.. Merekalah yang bergaul dengan Rasulullah dan sentiasa bersama Baginda. Allah juga telah memenangkan agamaNya melalui mereka, Rasulullah s.a.w. sendiri yang mendidik mereka. Oleh itu, mereka adalah generasi paling sempurna dalam sejarah. Sama ada dari segi keluhuran akhlak, kekuatan iman, kejujuran percakapan, ketinggian roh dan kesempurnaan akal. Dengan ini, setiap hadis yang mereka riwayatkan daripada Rasul dengan sanad yang sahih dan bersambung, kita wajib menerimanya sebagai satu hakikat sejarah tanpa ragu lagi.
Para orientalis yang mempunyai misi tersembunyi cuba meragukan kesahihan kitab-kitab sunan yang berada di hadapan kita ini. Mereka turut disokong oleh orang Islam yang menjadi pengikut mereka. Mereka mempunyai pegangan agama yang rapuh dan terpengaruh dengan Barat dan cendekiawannya. Tujuan mereka semua ialah meruntuhkan Syariah dan menimbulkan keraguan terhadap peristiwa dalam Sirah.
Namun Allah yang bertanggungjawab memelihara agamaNya, telah menyediakan golongan yang menolak kebatilan dan tipu daya tersebut sehingga menjerut batang leher mereka sendiri. Dalam buku as-Sunnah wa Makanatuha min at-Tasyri al-Islami (Sunnah dan Kedudukannya Dalam Perundangan Islam), telah dedahkan penat lelah ulama kita menyingkap Sunnah Nabi s.a.w.

3. Syair Arab pada Zaman Kerasulan
Tidak diragui bahawa orang musyrik telah menyerang Rasul s.a.w. dan dakwah Baginda melalui lidah para penyair mereka. Ini memaksa orang Islam menjawabnya melalui lidah para penyair mereka pula seperti Hasan bin Thabit, Abdullah bin Rawwahah dan lain-lain lagi. Buku-buku sastera dan sirah yang ditulis selepas zaman itu mengandungi banyak syair-syair sebegini. Melalui syair-syair ini, kita dapat membuat kesimpulan tentang fakta-fakta berkaitan suasana persekitaran s.a.w. hidup dan dakwah Islam mula lahir.
4. Kitab-kitab Sirah
Pada mulanya kisah dalam Sirah Nabi s.a.w. hanya merupakan hadis-hadis yang diriwayatkan oleh para sahabat r.a. kepada generasi selepas mereka. Sesetengah sahabat memberikan perhatian khusus terhadap setiap peristiwa yang berlaku dalam sirah Nabi s.a.w. dan penjelasannya. Kemudian, para tabi’in menukilkan riwayat-riwayat ini dan mencatatnya dalam lembaran simpanan mereka. Sesetengah mereka memberi perhatian khusus terhadap usaha ini, contohnya di kalangan tabien kecil ialah, Abdullah bin Abu Bakar al-Ansori (meninggal dunia pada 135H), Muhammad bin Muslim bin Syihab az-Zuhri (50-124H) yang mengumpulkan sunnah pada zaman 'Umar bin 'Abdul 'Aziz hasil perintahnya, juga 'Asim bin 'Umar bin Qatadah al-Ansori (meninggal dunia 129H).
Kemudian keprihatinan terhadap Sirah telah berpindah kepada generasi selepas mereka, sehingga generasi ini menulis sirah dalam penulisan yang khusus (diasingkan daripada bidang yang lain). Di antara pengarang awal Sirah yang paling terkenal ialah Muhammad bin Ishaq bin Yasar (Ibnu Ishaq) (meninggal dunia 152H). Jumhur 'ulama dan para ahli hadis bersepakat mengatakan beliau thiqah, kecuali Malik dan Hisyam bin ' Urwah bin az-Zubair. Diriwayatkan bahawa Malik dan Hisyam mempertikaikan beliau. Namun, kebanyakan 'ulama muhaqqiqin menafsirkan tindakan kedua-dua orang 'alim besar ini mempertikaikan kethiqahan Ibnu Ishaq adalah disebabkan persengketaan peribadi yang berlaku di antara mereka. Ibnu Ishaq pula telah menulis kitab al-Maghazi. Kitab ini mengandungi hadis-hadis dan riwayat-riwayat, yang (didengarnya sendiri di Madinah dan Mesir. Dukacitanya, kitab ini tidak sampai kepada kita. la telah hilang bersama kitab-kitab lain yang hilang daripada warisan ilmu kita yang kaya. Akan tetapi, kandungan kitab itu masih kekal terpelihara. Kerana Ibnu Hisyam telah meriwayatkannya dalam kitab sirah beliau daripada jalan riwayat gurunya, al-Bakka-ie, salah seorang murid Ibnu Ishaq yang terkenal.


No comments:

Post a Comment