Wednesday 10 April 2013

PERISTIWA ISRAK DAN MIKRAJ



ISRAK DAN MIKRAJ 

1.0 Pendahuluan

Tatkala Nabi Muhammad SAW berada di peringkat dakwahnya yang masih samar antara jalan kejayaan dan penindasan yang dialami dan kejayaan dakwahnya kelihatan bagaikan bintang-bintang yang lemah berkilau dari ufuk yang jauh, maka pada ketika itu berlakulah peristiwa Israk dan Mikraj.
Peristiwa Israk dan Mikraj merupakan perjalanan dan mukjizat agung yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada manusia yang paling hanya layak dan teragung iaitu junjungan besar Nabi Muhammad SAW.
Dalam perjalanan tersebut Baginda SAW diperlihatkan dengan pelbagai gambaran dan pemandangan dari alam penuh rahsia yang kesemuanya mengandungi pelbagai hikmah dan hakikat yang akhirnya bersangkut paut dengan apa yang berlaku di alam zahir ini dari urusan dan kehidupan para hamba.
Peristiwa Israk dan Mikraj penting untuk dihayati terutamanya manusia zaman kini yang semakin jauh dari dapat menyelami hikmah-hikmah Ilahi. Sesungguhnya Israk dan Mikraj menyimpan pelbagai rahsia dan membongkar pelbagai pengajaran, peringatan dan kelebihan terutamanya kedudukan Rasulullah SAW yang istimewa di sisi-Nya.

2.0 Definisi Israk dan Mikraj

Al-Israk bermaksud perjalanan yang mulia lagi bersejarah Nabi Muhammad SAW dari Masjidil Al-Haram di Mekah ke masjid Al-Aqsa di Al-Quds di Palestin. Peristiwa ini ada dinyatakan di dalam Al-Quran. 
Firman Allah Taala bermaksud :
سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَى بِعَبْدِهِ لَيْلًا مِنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الْأَقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ ءَايَاتِنَا إِنَّه هُوَ السَّمِيعُ الْبَصِير
“Maha Suci Allah yang telah menperjalankan hambaNya (Muhammad) pada suatu malam dari Masjid al-Haram (di Mekah) ke Masjid al-Aqsa (di Palestin) yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami memperlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” (Surah al-Israa: ayat 1)
Mikraj pula ialah merujuk kepada perjalanan Nabi Muhammad SAW dari Masjid al-Aqsa ke Sidrat al-Muntaha di langit ketujuh dekat singgahsana Allah Taala sepertimana yang digambarkan oleh Al-Quran.
Firman Allah Taala bermaksud :
وَلَقَدْ رَآهُ نَزْلَةً أُخْرَى. عِنْدَ سِدْرَةِ الْمُنْتَهَى. عِنْدَهَا جَنَّةُ الْمَأْوَى. إِذْ يَغْشَى السِّدْرَةَ مَا يَغْشَى. مَا زَاغَ الْبَصَرُ وَمَا طَغَى. لَقَدْ رَأَى مِنْ ءَايَاتِ رَبِّهِ الْكُبْرَى
“Dan sesungguhnya (Muhammad) telah melihat (Jibril dalam bentuk rupanya yang asal) pada waktu yang lain. (iaitu) Sidrat al-Muntaha. Di dekatnya terletak syurga tempat tinggal (Jannat al-Makwa). (Muhammad melihat Jibril dalam bentuk rupanya yang asal) ketika Sidrat al-Muntaha itu diliputi oleh sesuatu yang meliputinya. Penglihatannya (Muhammad) tidak berpaling daripada yang disaksikannya itu dan tidak (pula) melampauinya. Sesungguhnya dia telah melihat sebahagian tanda-tanda (kekuasaan) TuhanNya yang paling besar.” (Surah an-Najm: ayat 13-18)
Dapat disimpulkan di sini bahawa peristiwa Israk Mikraj adalah sebagai satu perjalanan kilat Nabi Muhammad SAW pada malam hari di atas kehendak dan keizinan Allah Taala dari Masjid al-Haram ke Masjid al-Aqsa dan kemudian naik ke langit sampai ke Sidrat al-Muntaha bahkan menembusi tujuh lapis langit lalu kembali semula ke Mekah pada malam yang sama.




3.0 Khilaf tarikh sebenar Israk dan Mikraj

Ahli sirah berselisih pendapat dalam menentukan masa berlakunya Israk dan Mikraj kepada beberapa pendapat iaitu :
1.    Israk berlaku pada tahun Baginda dimuliakan oelh Allah SWT dengan diangkat sebagai Nabi. Pendapat ini dipilih oleh al-Tabari.
2.    Peristiwa ini berlaku lima tahun setelah Baginda SAW diangkat menjadi Nabi. Pendapat ini dianggap jelas oleh Imam al-Nawawi dan al-Qurtubi.
3.    Peristiwa ini berlaku pada malam 27 Rejab tahun 10 kenabian. Pendapat ini dipilih oleh al-‘Allamah al-Mansurfuri.
4.    Ianya berlaku setahun dua bulan sebelum hijrah iaitu pada bulan Muharram tahun 13 kenabian.
5.    Ianya berlaku setahun sebelum hijrah iaitu pada bulan Rabi’ul Awal tahun 13 kenabian.

Tiga pendapat yang teratas disangkal dengan fakta bahawa Saiyidatina Khadijah r.a. meninggal dunia pada bulan Ramadan tahun 10 kenabian. Kewafatannya sebelum difardukan sembahyang lima waktu. Tidak ada khilaf bahawa soalt lima waktu difardukan pada malam Israk tersebut.
Sementara tiga pendapat yang bawah pula, penulis Kitab Al-Rahiq Al-Makhtum (Sirah Nabawiyyah S.A.W.) tidak menemui hujah untuk menentukan yang manakah paling tepat. Namun berdasarkan konteks Surah al-Isra’ menunjukkan bahawa peristiwa al-Israk berlaku agak terkemudian.
Pendapat Ibnu Sa’d di dalam kitabnya “AT-TABAQAT AL-KUBRA” mencatatkan bahawa mukjizat ini berlaku sebelum lapan belas bulan hijrah Rasulullah SAW.
Diceritakan oleh Ibnul Athir, Iyad dan Imam Qurtubi daripada Az-zuhri bahawa berlaku Israk dan Mikraj tiga tahun sebelum hijrah. (Kitab Israk dan Mikraj oleh Ibnu Hajar Asqalani, halaman 22), (Kitab Israk dan Mikraj oleh Dr Abi Syaibah, halaman 36).
Syeikh Ahmad Syakir dalam kitabnya berjudul “Israk dan Mikraj” menyebut bahawa Al-Hafiz Abd Ghani Ibnu Surur Al-Maqdisi menyebut dalam sirahnya bahawa ia berlaku pada malam 27 Rejab yang diguna pakai oleh rakyat Malaysia dan kebanyakan kaum Muslimin dewasa ini.
Ini pula pendapat yang masyhur dikalangan orang ramai, walaupun tidak sahih sanadnya, bahkan dianggap dusta oleh sesetengah ulama’ hadis. Iaitu berlakunya Israk dan Mi’raj pada malam yang kedua puluh tujuh (27) daripada bulan Rejab.
[Lihat: Al-Bidayah wa an-Nihayah 109/3, Fath Al-Bari.]
Berkata Ibnu Kathir (wafat 774H): “Manakala sesetengah orang menyangka bahawa adalah peristiwa Israk berlaku pada awal malam Jumaat daripada bulan Rejab yang dikenali dengan malam الرغائب yang direkakan padanya solat الرغائب yang masyhur. Pendapat itu tidak ada asal dan dalil baginya. [Lihat: Al-Bidayah wa an-Nihayah 109/3.]

4.0 Sebab kepada Israk Mikraj

Ahli sejarah menyifatkan bulan Rejab iaitu tahun ke-11 kerasulan Nabi Muhammad S.A.W. sebagai tahun dukacita bagi Baginda berikutan dengan dua musibah yang menimpa baginda secara berturut-turut. Iaitu kehilangan dua insan yang baginda sayang berikutan kewafatan Khadijah (isteri baginda) dan kemudian disusuli pula dengan pemergian Abu Talib (bapa saudara baginda).
Musibah yang menimpa itu memberi pengaruh besar terhadap diri Nabi Muhammad S.A.W. Baginda merasakan ruang untuk pergerakan dakwah di Mekah semakin sempit dan keselamatan diri turut terancam. Keadaan ini mendorong Baginda untuk berpindah ke Thaif dengan harapan agar penduduknya menerima seruan dan bersedia membantu perjuangannya. Namun, segala harapan Baginda hancur kerana penduduk Thaif bukan saja tidak mahu memberi perlindungan kepada baginda malah baginda dicaci dan dihina dan pelbagai lagi.
Oleh sebab itu, Nabi Muhammad S.A.W. kembali semula ke Mekah dengan perasaan hampa dan dukacita. Lalu Allah Taala menganugerahkan Israk Mikraj yang antara lain bertujuan untuk menghibur dan memantapkan iman Nabi Muhammad S.A.W. Sebab kepada Israk Mikraj ini adalah antara sebab berlakunya peristiwa ini namun semuanya di atas kehendak dan ketetapan dari Allah Taala.  

5.0 Sebelum  Israk dan Mikraj

Telah disebut pada suatu ketika Nabi Muhammad SAW sedang duduk di tepi Kaabah lalu datanglah malaikat Jibril a.s. dengan seekor Buraq untuk membawa Nabi Muhammad SAW dalam peristiwa Israk Mikraj ini. Dari segi bahasa Buraq bererti kilat cahaya. Ia sejenis makhluk menyerupai haiwan. Saiznya besar sedikit dari khimar dan kecil sedikit dari baghal. Buraq dijadikan oleh Allah Taala dari cahaya. Ia boleh melangkah sejauh mata memandang.
Rasulullah S.A.W. mengalami pembedahan dada, dilakukan oleh malaikat Jibrail dan Mika'il. Hati Baginda S.A.W. dicuci dengan air zamzam, dibuang ketul hitam ('alaqah) iaitu tempat syaitan membisikkan waswasnya. Kemudian dituangkan hikmat, ilmu, dan iman.ke dalam dada Rasulullah S.A.W. Setelah itu, dadanya dijahit dan dimeterikan dengan "khatimin nubuwwah".
Selesai pembedahan, barulah didatangkan binatang bernama Buraq untuk ditunggangi oleh Rasulullah dalam perjalanan luar biasa yang dinamakan "Israk" itu.
Setelah itu, berangkatlah Nabi Muhammad SAW dengan ditemani oleh malaikat Jibril AS menuju ke Bait al-Maqdis dan baginda solat dua rakaat di situ dan menjadi imam kepada para nabi lain. Setelah selesai solat maka Nabi Muhammad SAW telah dihidangkan dua bejana yang mengandungi dua jenis minuman iaitu satu bejana mengandungi susu dan satu bejana lagi mengandungi arak. Setelah itu Nabi Muhammad SAW mengambil bejana yang mengandungi susu dan tindakan baginda memilih bejana mengandungi susu mendapat sanjungan dari Jibril AS kerana menepati fitrah manusia. Kemudian baginda dan Jibril AS meneruskan Mikraj ke langit pertama hingga ke tujuh. 
Menurut Ibnu al-Qayyim pula ialah : Rasulullah SAW diisrakkan dengan jasad menurut pendapat yang sahih dari Masjid al-Haram ke Baitul Maqdis dengan menunggang Buraq dan ditemani oleh Malaikat Jibril a.s. Di Baitul Maqdis Baginda singgah dan menunaikan solat bersama para nabi dengan Baginda sendiri yang menjadi imam. Manakala, binatang Buraq ini ditambat  di tambatan pintu masjid.

6.0 Kejadian sepanjang Israk Mikraj


Para Imam al-Hadith meriwayatkan huraian lanjut mengenai peristiwa ini “berdasarkan hadith sahih”, di sini kami membuat ringkasannya:
“Ibnu al-Qayim telah menyebut : Rasulullah Saw telah diisra’kan dengan jasad dari masjid al-Haram ke Batul Maqdis dengan menunggang buraq, ditemani oleh Jibril a.s., Rasulullah SAW turun ke Baitul Maqdis dengan mengimami sembahyang, bersama para Anbiya’ yang terdahulu, buraq ditambat di halaman masjid al-Aqsa.”
          Setelah itu, Rasulullah SAW dimikrajkan di malam yang sama dari Baitul Maqdis ke langit terdekat, lalu Jibril meminta supaya dibuka pintu langit, setelah dibukanya, di sana Rasulullah SAW telah melihat Adam a.s. bapa sekalian manusia, Baginda pun memberi salam kepadanya, baginda dialu-alukan dan membalas salam dan Baginda diperakukan dengan kenabiannya. Allah memperlihatkan kepada Baginda roh-roh para syuhada’ di sebelah kanannya dan roh-roh yang terseksa di sebelah kirinya.
          Kemudian Baginda dibawa naik ke langit kedua, Jibril meminta supaya dibuka pintu langit, setelah dibuka mereka memasukinya. Di sana didapati nabi Yahya bin Zakaria dan Isa Ibni Mariam, diberinya salam lalu dijawab salam dan dialukan mereka, di samping memperakui kenabian Muhammad SAW.
          Setelah itu, Jibril membawa Rasulullah SAW ke langit ketiga di sana mereka bertemu dengan Nabi Yusuf, setelah salam diberi dan disambut Baginda dialu-alukan dan diperakui kenabiannya.
         Seterusnya Rasulullah SAW dibawa ke langit keempat. Di sana Baginda berjumpa dengan Nabi Idris a.s.. Rasulullah SAW memberi salam kepadanya dan beliau menjawab, Baginda dialu-alukan dan diakui kenabian Baginda.
         Selepas itu, baginda dibawa ke langit kelima. Di sana Baginda bertemu dengan nabi Harun bin Imran, Baginda menjawab salam yang diberi, Baginda dialu-alukann dan diakui kenabiannya.
        Kemudian, Baginda dimikrajkan ke langit keenam. Di sana Baginda bertemu dengan Musa bin Imran, Baginda memberi salam dan dijawab maka dialu-alukan dan diperakui kenabiannya. Setelah Rasulullah SAW berlepas dari Musa, Musa pun menangis, lalu ditanya Musa apa yang membawa kau menangis? Jawab Musa : Aku menangis kerana orang yang diutuskan selepasku, umatnya memasuki Syurga lebih ramai dari umatku.
        Seterusnya Rasulullah SAW dimikrajkan ke langit ke tujuh, Bagibda menemui Ibrahim a.s. , setelah salam diberi dan dijawab, Baginda dialu-alukan dan diakui kenabiannya. Sesudah itu Baginda dimikrajkan ke Sidrah al-Muntaha dan dibawa ke al-Bait al-Ma’mur.
        Akhirnya Baginda SAW dimikrajkan di hadapan Allah al-Jabbar Jalla Jalaluh, Baginda menghampiriNya (Allah SWT) paling terdekat. Maka difirman dan diwahyukan kepada hambaNya Muhammad segala sesuatu, difardukan ke atas Baginda SAW lima puluh waktu, dengan itu Baginda pun turunlah untuk pulang. Di tengah jalan baginda melalui Musa bin Imran yang bertanyakan kepada Rasulullah SAW :
Dengan apa kau diperintahkan? Jawab Baginda : Daku difardukan dengan lima puluh waktu solat, jawab Musa : Umat kau tidak akan mampu, kembalilah kepada Tuhan pohon kepadaNya pengurangan, demi untuk umat Engkau, Baginda berpaling kepada Jibril bagaikan untuk mendapat pandangan, maka Jibril pun memberi persetujuan dengan pendapat Musa itu, dengan itu Jibril membawa semula hingga ke hadapan Tuhan Rabul Jalil, justeru itu Allah pun mengurangkan hingga tinggal sepuluh waktu sahaja, maka Baginda turun, semasa itu sekali lagi Baginda melewati Musa a.s. , Baginda mencerita apa yang berlaku, maka kata Musa sekali lagisebagai menasihati. Ayuh pulang semula kepada Tuhanmu mintakan agar dikurangkan lagi, demikianlah Rasulullah SAW berulang–alik diantara Allah Rabul Jalil dan Musa a.s. , dengan itu Allah perkurangkan, hingga tinggal menjadi lima waktu solat sahaja, masih lagi Musa menyuruh Rasulullah SAW memohon pengurangan lagi, kemudian Rasulullah mengatakan :
            Sesungguhnya aku terasa malu, malah setakat ini kau merelai dan menerima perintahNya itu, setelah jauh Nabi SAW berlalu, seorang penyeru menyeru: “Aku telah perkenankan kefarduan-Ku dan Aku telah ringankan dari hamba-hamba Ku” .
Ibnu al-Qaiyim juga telah mengemukakan pendapat yang berlainan mengenai penglihatan Rasulullah akan Tuhannya Tabaraka wa Ta’ala, yang kemudian beliau perturunkan pembicaraan Ibnu Taimiyah mengenai tajuk berkenaan, hasil kajian mendapati bahawa penglihatan Rasulullah dengan mata kepala tidak thabit sejak asal lagi, sebenarnya, pendapat ini tidak pernah disebut oleh mana-mana sahabat pun. Pendapat yang dinaqalkan dan dipetik dari Ibnu Abbas:
“Penglihatan Rasulullah adalah secara mutlak dan melalui hati naluri, namun penglihatan mutlak tidak menafikan penglihatan dengan hati”.
Seterusnya beliau menyebut lagi: Adapun firman Allah di dalam surah al-Najm menghampiri di sini bukannya seperti yang diertikan di dalam kisah Isra’ dan Mi’ raj, menghampiri dalam surah al-Najm, ialah Jibril yang menghampiri dan mendekati, sebagaimana yang ditegaskan oleh ‘Aisyah dan Ibnu Mas’ud, gaya bahasa menunjukkan demikian, manakala penghampiran dan pendekatan di dalam hadith al-Isra’, adalah terang dan jelas dinisbahkan kepada Tuhan Rubul jalil, ini bererti tidak berlaku apa-apa pertentangan di dalam surah al-Najm, malah Baginda melihatNya dikali kedua di Sidrah al-Muntaha. Ini adalah Jibril, Muhammad (s.a.w) melihatnya dalam bentuk asal dua kali, sekali di bumi dan kali kedua di Sidrah al-Muntaha.
Peristiwa pembedahan dada Rasulullah juga berlaku dikali ini. Dan di dalam peristiwa Isra’ Mi’raj ini Baginda menyaksi berbagai-bagai perkara:
1.    Telah dipersembahkan kepada Baginda susu dan khamar, namun Baginda memilih susu, maka disebutkan kepada Baginda: Kau telah tertunjuk kepada fitrah atau kau telah menepati fitrah, tapi sekiranya kau mengambil khamar nescaya sesat seluruh umat kau.
2.    Baginda telah melihat empat sungai di dalam syurga, dua sungai zahir dan dua sungai batin. Dua sungai yang zahir ialah sungai al-Nil dan al-Furat ini bermakna agama dan risalah yang dibawanya akan bertapak di lembah-lembah subur di al-Nil dan al-Furat, penduduknya merupakan pendokong-pendokong agama Islam dari generasi ke generasi yang lain, bukanlah bererti yang airnya yang mengalir dari syurga.
3.    Juga Baginda melihat Malik penjaga neraka, yang tidak pernah senyum, malah di mukanya tiada sedikit pun mesra atau lembut, Baginda melihat syurga dan neraka.
4.    Baginda menyaksi pemakan harta-harta anak-anak yatim secara aniaya, mulut-mulut mereka bak mulut-mulut unta, dilontar ke dalam rahang mulut mereka ketulan-ketulan api neraka bak harimau meluru keluar dari dasar neraka keluar melalui dubur mereka.
5.    Baginda menyaksi pemakan-pemakan riba dengan perut-perut yang besar, kerananya mereka tidak berupaya bergerak dari tempat-tempat mereka, keluarga Firaun melalui di hadapan mereka dan melanyak mereka dengan tapak kaki.
6.    Penzina-penzina diletakkan di hadapan mereka daging-daging elok dan segar di samping daging-daging buruk lagi busuk, namun mereka memilih dan memakan yang busuk ditinggalnya yang segar-segar.
7.    Baginda menyaksi sekumpulan wanita yang memasuki di dalam majlis lelaki bukan anak-anak mereka, mereka digantung dari payudara-payudara mereka,
8.    Juga Baginda melihat sekumpulan unta penduduk Makkah dalam perjalanannya. Pada masa itu Baginda telah menunjukkan mereka unta yang kehilangan itu, dan Baginda telah meminum air dari bekas mereka yang tertutup kemas sedang mereka nyenyak tidur selepas diminum habis Baginda menutup kembali tudungnya, kejadian ini menjadi bukti kebenaran kepada peristiwa Isra’ dan mi’raj yang diceritakan oleh Rasulullah.

Ibnu al-Qayyim berkata: Setelah Rasulullah berada di Subuh pagi bersama-sama kaumnya dan menceritakan kepada mereka tanda-tanda agung (al-Ayat al-Kubra) yang diperlihatkan Allah kepada RasulNya, maka semakin engkar kafir Quraisy dengan risalah Muhammad, semakin bengis lagi mereka menyiksa kaum muslimin. Namun demikian mahu juga mereka bertanya Rasulullah supaya mengambarkan rupa bentuk Baitui Maqdis, maka Allah membuka penglihatan Rasulullah hingga ternampak Baitul Maqdis itu di hadapan matanya, dengan itu Rasulullah pun menceritakan segala sesuatu mengenai dengannya hingga mereka semua tidak berkesempatan untuk menolak atau mendustainya dan menceritakan juga mengenai kumpulan-kumpulan unta mereka, semasa pemergian dan kepulangan Baginda, juga Baginda menceritakan unta-unta yang akan tiba dan menyifatkan unta yang akan mendahului kafilahnya, dan benar sebagai yang diceritakan oleh Rasulullah, namun mereka semakin angkuh dan engkar, memang sesungguhnya orang yang zaiim itu semakin kufurlah mereka.
Adapun Abu Bakar digelarkan dengan gelaran al-Siddiq kerana pembenaran dan kepercayaan beliau dengan peristiwa Isra’ dan Mi’raj, sedang manusia ramai mendustainya.
Paling padat dan agong faktor perjalanan mulia ini diaturkan oleh Allah ialah sebagaimana firmanNya yang bermaksud:
…untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami.
(Surah al-Israa’: 1)
Ini adalah sunnah dan qanun Allah kepada para anbiya’nya, sebagaimana penegasan Allah kepada Ibrahim (a.s) yang bermaksud:
Dan demikianlah Kami perlihatkan kepada Nabi Ibrahim kebesaran dan kekuasaan (Kami) di langit dan di bumi, dan supaya menjadilah ia dari orang yang percaya dengan sepenuh-penuh yakin.
(Surah al-An’aam: 75)
Dan penegasan Allah kepada Musa (a.s) yang bermaksud:
“(Berlakunya yang demikian itu) kerana Kami hendak memperlihatkan kepadamu, sebahagian dari tanda-tanda kekuasaan Kami yang besar.”
(Surah Thaahaa: 23)
Penyusunan program Isra’ dan mi’raj ini bertujuan memberi keyakinan:
dan supaya menjadilah ia dari orang yang percaya dengan sepenuh-penuh yakin.
(al-An’aam: 75)
Setelah ilmu dan makrifat para anbiya’ ini didasarkan kepada penyaksian tanda-tanda agung (al-Ayaat al-Kubra) tadi, darinya mereka memperolehi ‘Ain al-Yakin (yakin hakiki), yang tidak dapat dinilai kadarnya, kerana berita perkhabaran itu tidak boleh disamakan dengan penyaksian dengan mata kepala, hasilnya mereka lebih mampu untuk menanggung risiko dakwah yang bakal mereka garap, seluruh tenaga dunia yang menentang mereka hanya seberat sayap nyamuk sahaja, untuk itu mereka tidak menghiraukan pancaroba dan ancaman terhadap mereka.
Mukjizat lsra' dan Mi'raj mempunyai banyak rahsia. Kami hanya sebutkan tiga sahaja : 
Pertama: Menghubungkait isu Masjidil Aqsa dan kawasan sekitarnya dengan isu Dunia Islam. Ini kerana Makkah selepas perutusan Rasul s.a.w. telah menjadi pusat perhimpunan Dunia Islam dan kesatuan visinya. Peristiwa Israk Mikraj ini juga menunjukkan usaha mempertahankan Palestin sebenarnya mewakili usaha mempertahankan Islam itu sendiri. Setiap orang Islam di pelbagai ceruk bumi wajib melaksanakannya. Kecuaian mempertahan dan membebaskan Palestin merupakan kecuaian terhadap Islam. la merupakan jenayah yang akan dihukum oleh Allah kepada setiap orang yang beriman dengan Allah dan Rasul-Nya.
Kedua: Israk Mikraj menjadi simbol kepada ketinggian kedudukan orang Islam dan lambang kepada kewajipan mengangkat dirinya mengatasi hawa nafsu dan syahwat dunia. Dia juga wajib menjadi manusia yang tiada tolok bandingnya dikalangan seluruh manusia. Sama ada dari segi kedudukannya yang tinggi, visinya yang mulia dan sikapnya yang sentiasa berlegar dalam lingkungan nilai-nilai yang mithali untuk selama-lamanya.
Ketiga: Israk Mikraj juga menunjukkan penerokaan angkasa dan keluar daripada tarikan graviti bumi boleh diusahakan. Dalam peristiwa Israk dan Mikraj, Rasul kita merupakan angkasawan pertama dalam sejarah dunia seluruhnya. Meneroka angkasa seterusnya pulang ke bumi dengan selamat adalah perkara yang boleh berlaku. Sekalipun ia berlaku kepada Rasulullah s.a.w. secara mukjizat pada zaman Baginda, namun ia boleh terjadi kepada manusia biasa melalui ilmu dan idea.
Kefardhuan solat pada malam Israk dan Mi'raj menunjukkan hikmah kenapa solat disyariatkan. Allah seolah-olah berfirman kepada hamba-hamba-Nya yang beriman: Sekiranya Mikraj Rasul kamu dengan jasad dan roh ke langit merupakan mukjizat, kamu pula diperuntukkan solat lima waktu setiap hari, sebagai mikraj (anak tangga) untuk kamu naik menemui-Ku dengan roh dan hati kamu. Jadikan solat lima kali sehari sebagai peningkatan roh yang boleh mengangkat kamu daripada tenggelam dalam hawa dan syahwat kamu, serta memperlihatkan kamu kebesaran, kekuasaan dan keesaan Aku. Ini mendorong kamu untuk memimpin muka bumi ini, bukan dengan cara memperhamba, menguasai dan menakluki (orang lain). Bahkan melalui jalan kebaikan dan ketinggian, juga dengan cara kesucian dan peningkatan roh menerusi jalan solat.

7.0 Difardhukan Solat Lima Waktu

Daripada pelbagai kejadian yang disaksikan sendiri oleh Rasulullah SAW ini ada suatu hal yang amat besar dan penting yang melibatkan proses peribadatan umatnya iaitu perintah Allah Taala agar melakukan ibadat solat fardu.
Sewaktu tiba di Sidrat al-Muntaha, Rasulullah SAW telah menerima perintah Allah Taala iaitu perintah melakukan ibadah solat untuk seluruh umatnya sebanyak 50 waktu sehari semalam. Sebaik sahaja menerima perintah tersebut tanpa banyak bicara baginda dan Jibril A.S. bersiap sedia untuk turun ke bumi.
Pada masa inilah baginda bertemu dengan Nabi Musa AS yang bertanyakan hal itu kepada baginda. Setelah mendengar penjelasan Nabi Muhammad SAW maka Nabi Musa AS berkata: Kembalilah kepada Tuhanmu dan mintalah sedikit keringanan kerana bilangan tersebut tidak akan terdaya dilakukan oleh umatmu.
Nabi Muhammad SAW dan Jibril kembali mengadap Allah Taala. Jumlah bilangan waktu solat telah dikurangkan kepada 40 waktu. Apabila berjumpa Nabi Musa kemudiannya maka Nabi Musa meminta baginda kembali menemui Tuhan untuk meminta dikurangkan lagi jumlah tersebut. Setelah beberapa kali Nabi Muhammad SAW berulang alik menemui Allah SWT dan pada akhirnya Allah Taala telah mengurangkan bilangan solat fardu tersebut menjadi 5 waktu sahaja.
Apabila kembali semula, maka Nabi Musa AS masih merasakan umat Nabi Muhammad SAW masih tidak terdaya untuk melakukannya dengan bilangan 5 rakaat itu. Nabi Muhammad SAW menyatakan bahawa beliau tidak akan mengadap Allah Taala lagi untuk memintaNya mengurangkan bilangan solat itu kerana baginda merasa malu untuk berdepan dengan Allah Taala.

8.0 Pengajaran Tentang Solat

Antara pengajaran terpenting yang diperolehi daripada perjalanan Israk dan Mikraj ialah tentang solat. Di antara kefarduan solat dan mukjizat Israk dan Mikraj, terdapat hubung kait yang begitu mendalam dan erat, sehingga munasabahlah dinamakan solat itu sebagai al Mikraj al-Ruhi.
Apabila Mikraj Nabi kita SAW dengan jasad dan rohnya ke langit sebagai suatu mukjizat, maka Allah SWT menjadikan bagi umat Muhammad SAW Mikraj Roh pada setiap hari sebanyak lima kali. Di mana roh dan hati mereka pergi menemui Allah SWT bagi memastikan mereka bebas dari kekangan hawa nafsu dan menyaksikan keagungan Allah, kekuasaan serta keesaan-Nya, sehingga mereka menjadi orang yang mulia di atas permukaan bumi ini.
Kemuliaan yang diperolehi bukan dengan jalan penindasan, kekuatan dan kemenangan, tetapi dengan jalan kebaikan dan ketinggian, jalan kesucian dan kemuliaan serta jalan solat.
Tidaklah solat itu sekadar robot atau pergerakan alat-alat yang tidak mempunyai makna, tetapi ia adalah sebuah madrasah yang mendidik kaum mukminin atas semulia-mulia makna kebaikan, kecintaan dan kemuliaan dalam menempuh kesesakan hidup dan kejahatannya.
Tambahan pula, solat merupakan sebesar-besar amalan dalam Islam. Sesiapa yang memeliharanya, maka dia akan memperolehi kebahagiaan dan keuntungan. Sesiapa yang meninggalkannya, maka dia akan memperolehi kecelakaan dan kerugian.
Allah SWT telah mengfardukan solat ke atas hamba-hamba-Nya yang beriman supaya ia menjadi penghubung dengan hadrat-Nya, peringatan tentang keagungan-Nya dan tanda kesyukuran hamba-Nya atas nikmat yang dicurahkan-Nya.
Ia merupakan asas bagi mencapai kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan akhirat. Sabda Rasulullah SAW:
"Amalan pertama yang dihisab bagi hamba pada hari kiamat adalah solat. Sekiranya solatnya itu baik, maka baiklah segala amalannya. Sekiranya solatnya itu rosak, maka rosaklah segala amalannya yang lain".
(Diriwayatkan oleh al Tabrani di dalamal Awsot juga disebut di dalam Majma' al Zawaid (1/291).
Tidak menjadi suatu perkara yang pelik apabila solat dijadikan sebagai kepala amalan. Sesungguhnya dengan melazimkan diri menunaikan solat secara sempurna dengan khusyuk dan tawaduk kepada Allah, akan tertanam di dalam jiwa sifat muraqabah kepada-Nya.
Sesiapa yang telah mencapai muraqabatullah, akan berasa takut kepada-Nya, bertakwa kepada-Nya, menunaikan perkara yang menjurus kepada keredaan-Nya, berkata benar apabila berbicara, menunaikan janji apabila berjanji, menunaikan amanah, bersabar ketika ditimpa kecelakaan dan bersyukur dengan nikmat-Nya.
Firman Allah SWT dalam surah al-Maarij ayat 19 hingga 23 yang bermaksud :
“Sesungguhnya manusia itu dijadikan bertabiat resah gelisah (lagi bakhil kedekut). Apabila dia ditimpa kesusahan, dia sangat resah gelisah. Dan apabila dia beroleh kesenangan, dia sangat bakhil kedekut; kecuali orang-orang yang mengerjakan solat. Iaitu mereka yang tetap mengerjakan solatnya.”
Seorang hamba yang memelihara solatnya dengan sempurna, tidak akan terleka daripada muraqabatullah dalam kesibukan dan urusan sehariannya. Sesungguhnya sesiapa yang memelihara solatnya dengan menunaikannya dengan khusyuk, akan diampunkan dosanya dan dikasihi oleh Tuhannya.
Sabda Rasulullah SAW: "Sesungguhnya setiap solat itu menghapuskan kesalahan yang dilakukan di hadapannya". (riwayat Imam Ahmad dan al Tabrani).
Sabda Baginda SAW lagi: "Sesiapa mengetahui bahawa solat itu adalah hak yang wajib, maka dia masuk syurga". Diriwayatkan oleh Imam Ahmad, al Baihaqi dan al Hakim).
Sebaliknya sesiapa yang tidak memelihara solatnya, maka dia diharamkan di dunia daripada memperolehi nikmat keberkatan, taufik dan kebaikan serta akan diazab selepas kematiannya dengan dihentakkan kepalanya ke batu.
Setiap kali kepalanya itu pecah, akan dikembalikan seperti keadaan asalnya. Dia juga akan datang pada hari kiamat tanpa cahaya, petunjuk keimanan dan diharamkan terselamat dari azab, kehinaan dan kerendahan.
Wahai kaum Muslimin! Bertakwalah kalian kepada Allah dan peliharalah solat serta tunaikanlah kerana Allah pada waktunya dengan khusyuk. Tiada yang menghalang kalian untuk menunaikannya walaupun disebabkan kesejukan dan juga pekerjaan. Berhati-hatilah kalian agar harta, perniagaan, kemegahan, takhta, pemerintahan dan kementerian tidak menyibukkan kalian dari menunaikan solat.
Jadilah kalian dari kalangan mereka yang tergolong dalam firman Allah SWT yang maksud-Nya:
“(Ibadat itu dikerjakan oleh) orang-orang yang kuat imannya yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjual beli daripada menyebut serta mengingati Allah, dan mendirikan solat serta memberi zakat; mereka takutkan hari (Kiamat) yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan. (Mereka mengerjakan semuanya itu) supaya Allah membalas mereka dengan sebaik-baik balasan bagi apa yang mereka kerjakan, dan menambahi mereka lagi dari limpah kurnia-Nya; dan sememangnya Allah memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dengan tidak terhitung.” (Surah al-Nur: 37 dan 38)
Daripada Abdullah ibn Amru berkata, pada suatu hari, Nabi SAW menyebut tentang solat dengan sabdanya: "Sesiapa yang memelihara solat maka baginya cahaya, petunjuk dan kejayaan pada hari kiamat. Sesiapa yang tidak memeliharanya, maka tiada baginya cahaya, petunjuk dan kejayaan. Pada hari kiamat, dia akan bersama Qarun, Firaun, Haaman dan Ubai ibn Khalaf". (riwayat al Tabrani dan Ibnu Hibban)
Daripada Abi Hurairah r.a berkata, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Apakah pandangan kalian, jika ada sebatang sungai di pintu rumah salah seorang dari kalian, dia mandi di dalam sungai tersebut pada setiap hari sebanyak lima kali. Adakah masih ada suatu kotoran yang tinggal pada badannya?" Sahabat menjawab, "Tidak ada suatu kotoran pun yang tinggal". Sabda Baginda SAW, "Begitu jugalah perumpamaannya dengan solat lima waktu yang dengannya Allah menghapuskan kesalahan-kesalahan. (riwayat al Bukhari dan Muslim)
Banyak lagi pengajaran yang terdapat dalam peristiwa Israk dan Mikraj terutamanya beberapa keistimewaan yang dikurniakan kepada Rasulullah SAW bagi menunjukkan kepada kita tentang ketinggian martabat Baginda SAW.

9.0 Pertikaian Kafir Quraisy

Tiada alasan untuk menolak hakikat peristiwa Isra' Mi'raj yang dilalui oleh Nabi Muhammad SAW dengan roh dan jasadnya sekali kerana baginda telah di Israk dan di Mikrajkan oleh Allah Taala. Sekalipun peristiwa Isra' Mi'raj itu adalah perkara luar biasa di sisi akal manusia tetapi bagi Allah Taala Yang Maha Berkuasa maka Dia boleh melakukan apa jua perkara yang dianggap pelik menjadi perkara biasa dan tiada yang mustahil bagiNya.
Jika peristiwa Israk Mikraj itu sekadar mimpi Nabi Muhammad SAW pergi ke Baitul al-Maqdis dan juga mimpi naik ke langit tujuh maka kaum musyrikin Mekah tidak akan marah dan mempersenda baginda kerana mimpi adalah perkara biasa bagi semua orang. Bila mana kafir Quraisy menentang habis-habisan dan berusaha mati-matian menyangkal peristiwa Israk Mikraj yang berlaku dengan roh dan juga jasad Nabi Muhammad SAW ini bererti dengan sendirinya mereka mengakui bahawa baginda telah di Israk dan di Mikrajkan dengan roh dan jasadnya sekali. Ini kerana mimpi bukanlah suatu yang luar biasa dan tidak menyebabkan orang bersengketa mempertikaikan jika ada orang yang mendakwa sedemikian.
Sekiranya Nabi Muhammad SAW itu sekadar mimpi naik ke langit sahaja maka tidak ada mustahaknya orang-orang kafir Quraisy mencabar baginda untuk membuktikan kebenaran ceritanya dengan menanyakan Baginda berkenaan rupa bentuk Masjid al-Aqsa serta jumlah pintu dan tiangnya dan juga perkara-perkara yang berkaitan dengan masjid tersebut.
Pertanyaan kafir Quraisy mengenai keadaan rupa bentuk Masjid al-Aqsa dengan tujuan untuk memerangkap Nabi Muhammad SAW kerana mereka yakin seratus peratus bahawa baginda tidak pernah menjejakkan kaki ke Baitul al-Maqdis.
Sebaliknya apabila semua pertanyaan telah dijawab dengan betul maka mereka menjadi hairan dan bingung. Mereka tahu bahawa Nabi Muhammad SAW sebelum peristiwa ini sememangnya tidak pernah pergi ke Baitul al-Maqdis tetapi mereka hairan bagaimana Baginda boleh menjawab semua pertanyaan berhubung Masjid al-Aqsa itu dengan tepat. Mereka telah hilang punca dan mereka terpaksa membuat tuduhan bahawa Nabi Muhammad SAW adalah seorang ahli sihir.
Sememangnya tiada dalam ingatan Nabi Muhamamd SAW tentang rupa bentuk Masjid al-Aqsa kerana baginda sekadar dibawa singgah sebentar oleh Jibril AS untuk menunaikan solat dua rakaat. Bagaimanapun Allah Taala tidak akan membiarkan RasulNya terperangkap dalam percaturan jahat puak musyrikin Mekah yang cuba hendak memalukan Baginda. Allah Taala mendatangkan Masjid al-Aqsa ke hadapan Nabi Muhammad SAW. Justeru itu, Nabi Muhammad SAW dapat melihat Masjid al-Aqsa dengan jelas sehingga mudah untuk Baginda menjawab semua pertanyaan puak musyrikin.
Orang yang beriman akan terus beriman dan makin bertambah kukuhlah iman mereka. Manakala orang yang tidak beriman akan terus kufur bersama kekufuran mereka. Semuanya telah dibentangkan di depan mata.



10.0 Sikap Seorang Muslim Terhadap Kisah Israk Mikraj
Berita-berita yang datang dalam kisah Israk Mikraj seperti sampainya Nabi Muhammad SAW ke Baitul Maqdis, kemudian berjumpa dengan para nabi dan solat mengimami mereka, serta berita-berita lain yang terdapat dalam hadis-hadis yang shahih merupakan perkara ghaib. Sikap ahlussunnah wal jama’ah terhadap kisah-kisah seperti ini harus mencakupi kaedah berikut :
1.    Menerima berita tersebut.
2.    Mengimani tentang kebenaran berita tersebut.
3.    Tidak menolak berita tersebut atau mengubah berita tersebut sesuai dengan kenyataannya.
Kewajiban kita adalah beriman sesuai dengan berita yang datang terhadap seluruh perkara-perkara ghaib yang Allah Ta’ala khabarkan kepada kita atau dikhabarkan oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam.
Hendaknya kita meneladani sifat para sahabt radhiyallahu ‘anhum terhadap berita dari Allah dan rasul-Nya. Di kisahkan dalam sebuah riwayat bahawa setelah peristiwa Israk Mk’raj, orang-orang musyrikin datang menemui Abu Bakar As Shiddiq radhiyallahu ‘anhu.  Mereka mengatakan :
“Lihatlah apa yang telah diucapkan temanmu (yakni Muhammad shallallahu ‘alaihi wa sallam)!”
Abu Bakar berkata : “Apa yang beliau ucapkan?”.
Orang-orang musyrik berkata : “Dia menyangka bahawasanya dia telah pergi ke Baitul Maqdis dan kemudian dinaikkan ke langit dan peristiwa tersebut hanya berlangsung satu malam”.
Abu Bakar berkata : “Jika memang beliau yang mengucapkan, maka sungguh berita tersebut benar sesuai yang beliau ucapkan kerana sesungguhnya Beliau adalah orang yang jujur”.
Orang-orang musyrik kembali bertanya: “Mengapa demikian?”.
Abu Bakar menjawab: “Aku membenarkan seandainya berita tersebut lebih dari yang kalian khabarkan. Aku membenarkan berita langit yang turun kepada Beliau, bagaimana mungkin aku tidak membenarkan beliau tentang perjalanan ke Baitul Maqdis ini?” (Hadits diriwayakan oleh Imam Hakim dalam Al Mustadrak 4407 dari ‘Aisyah radhiyallahu’anha).
Perhatikan bagaimana sikap Abu Bakar radhiyallahu ‘anhu terhadap berita yang datang dari Nabi shallallahu ‘alaihi  wa sallam. Beliau langsung membenarkan dan mempercayai berita tersebut. Beliau tidak banyak bertanya, meskipun peristiwa tersebut mustahil dilakukan dengan teknologi pada saat itu. Demikianlah seharusnya sikap seorang muslim terhadap setiap berita yang shahih dari Allah dan rasul-Nya.


11.0 Hikmah Terjadinya Israk
Antara hikmah terjadinya Israk, iaitu kenapa Nabi SAW tidak Mikraj langsung dari Mekah padahal hal tersebut memungkinkan. Para ulama menyebutkan ada beberapa hikmah terjadinya peristiwa  Israk, iaitu:
1.    Perjalanan  Israk di bumi dari Mekah ke Baitul Maqdis lebih memperkuat hujjah bagi orang-orang musyrik. Jika beliau langsung Mikraj ke langit,  seandainya ditanya oleh orang-orang musyrik maka beliau tidak mempunyai alasan yang memperkuat kisah perjalanan yang Beliau alami.  Oleh kerana itu, ketika orang-orang musyrik datang dan bertanya kepada beliau, beliau menceritakan tentang kafilah yang beliau temui selama perjalanan Israk. Tatkala kafilah tersebut pulang dan orang-orang musyrik bertanya kepada mereka, orang-orang musyrik baru mengetahui benarlah apa yang disampaikan oleh Nabi SAW.
2.    Untuk menampakkan hubungan antara Mekah dan Baitul Maqdis yang keduanya merupakan kiblat kaum muslimin. Tidaklah pengikut para nabi menghadapkan wajah mereka untuk beribadah kecuali ke Baitul Maqdis dan Mekah Al-Mukarramah. Sekaligus ini menujukkan keutamaan beliau melihat kedua kiblat dalam satu malam.
3.    Untuk menampakkan keutamaan Nabi SAW dibandingkan para nabi yang lainnya. Beliau berjumpa dengan mereka di Baitul Maqdis lalu beliau solat mengimami mereka.


No comments:

Post a Comment